Berita Semasa

Remaja rebah, meninggal dunia di stadium

ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki rebah lalu meninggal dunia ketika menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad, mangsa lelaki berusia 18 tahun itu berada stadium bersama adiknya bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara KDA FC dan JDT FC.

Jelasnya, mangsa secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa berada di tempat duduk penonton stadium pada kira-kira pukul 7 petang, sebelum perlawanan bermula.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudiannya segera menghubungi Pasukan Pertahanan Awam yang bertugas di stadium untuk membawa remaja tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi menerima rawatan.

“Setiba di Zon Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pegawai perubatan telah mengesahkan remaja tersebut telah meninggal dunia.

“Semakan dan temubual ke atas waris mendapati remaja tersebut merupakan seorang pengidap sakit jantung sejak kecil.

“Pihak perubatan HSB juga telah mengesahkan sebab kematian sebagai “Complex Cyanotic Heart Disease” iaitu berkait sakit jantung yang dihidapi,” katanya dalam satu kenyataan.

Siti Nur Salawati turut mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kematian remaja terbabit pada pukul 8.18 malam.

Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Show More

Related Articles

Back to top button