Berita Semasa

Maritim Malaysia gerak operasi cari kru kapal kargo

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sudah menggerakkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang kru kapal kargo yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh di perairan Melaka, semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 11.10 pagi daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) di Johor Bahru.

Berikutan itu, bot PERKASA 37 yang sedang dalam operasi, diarahkan ke lokasi bagi mengesan mangsa warga India tersebut.

“Maklumat diterima, mangsa dikenali sebagai Vishnu Babu, berumur 25 tahun dipercayai terjatuh di laut di kedudukan 11.8 batu nautika Barat Daya Tanjung, Klebang, di sini, semasa kapal kargo MTRESOLUTE dalam perjalanan menuju ke Singapura.

“Keluasan sektor pencarian meliputi 43.5 kilometer persegi dan bot ronda RH 22 dari Pasukan Polis Marin (PPM) turut membantu dalam pencarian ini, namun tiada sebarang penemuan ditemui setakat pukul 7 malam tadi.

“Operasi CARILAMAT ditangguhkan dan diteruskan pada hari kedua bermula jam 8 pagi (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi secara 24 jam.

Show More

Related Articles

Back to top button