Koop Sahabat lancar rumah mampu milik di Selangor serendah RM275,000
PUTRAJAYA – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad melancarkan perumahan mampu milik Rumah Selangorku Shorea Garden dengan harga jualan bermula RM275,000.
Pelancaran projek membabitkan 230 unit rumah itu adalah bersempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan (HKNWP’24).
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, inisiatif berkenaan merupakan projek pembangunan usaha sama di antara Koop Sahabat dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS).
“Projek pembangunan berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 10 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar bernilai RM63.8 juta dengan kemudahan asas seperti dua unit tempat letak kenderaan, pusat komuniti serta pondok kawalan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan projek perumahan mampu milik Rumah Selangorku Shorea Garden pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Turut hadir merasmikan majlis pelancaran itu adalah Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa pihaknya bakal melancarkan projek lain termasuk Projek Integrasi Residensi Prihatin dan Residensi Prihatin, di Presint 5 Putrajaya yang diberi nama Residensi Serunai.
Turut bakal dilancarkan adalah Projek Pembangunan Rumah Selangorku Jenis Trio yang melibatkan sebanyak 1,210 unit dan 244 unit kondominium di Bukit Bandaraya Shah Alam.
Sehubungan itu, beliau juga menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan pencapaian Koop Sahabat yang telah diiktiraf sebagai koperasi kedua terbaik di Wilayah Persekutuan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan (SKMWP).
Menerusi pengiktirafan berdasarkan kecemerlangan urus tadbir dan peningkatan prestasi itu, Koop Sahabat berjaya mengekalkan kedudukan 10 koperasi terbaik di Malaysia buat tahun keenam.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia, anggota Lembaga Koperasi serta semua anggota Koop Sahabat atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan selama ini,” ujarnya.
Terdahulu, Koop Sahabat telah mengumumkan pengagihan kadar dividen pada tahun kewangan 2023 sebanyak 10 peratus kepada anggotanya.
Syarikat itu berhasrat untuk mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya bagi memberi pulangan dividen pada kadar yang terbaik pada masa hadapan dan seterusnya memberi manfaat kepada lebih 450,000 orang anggota.