Berita Semasa

400 wakil syarikat hadir seminar e-Invois bersepadu LHDN

PETALING JAYA – Seramai 400 wakil syarikat telah menghadiri seminar e-Invois bersepadu yang dianjurkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Menara LHDN, di sini.

Menurut LHDN, seminar berkenaan ia bertujuan mempromosikan pelaksanaan e-Invois selain turut memastikan aspirasi kerajaan ke arah pendigitalan pentadbiran cukai dapat direalisasikan.

Jelasnya, ia ditujukan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta di sekitar Lembah Klang.

“Penganjuran seminar ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada kumpulan sasar bagi mendapatkan maklum balas secara terus daripada LHDN dalam memastikan pelaksanaan e-Invois ini mencapai objektifnya sekali gus memacu pertumbuhan sosio-ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, seminar tersebut merupakan salah satu aktiviti pendidikan dan libat urus oleh LHDN dalam menjayakan pelaksanaan e-Invois fasa pertama yang akan bermula pada 1 Ogos ini.

Katanya lagi, seminar itu juga merupakan hasil anjuran kolaboratif yang diadakan pelbagai pihak termasuk LHDN negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan cawangan pembayar cukai besar

Dalam seminar itu, sesi taklimat e-Invois telah disampaikan oleh Pengarah Seksyen Bahagian e-Invois, Dr. Rasyidah Che Rosli.

Turut sama hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Shaharrudy Othman dan barisan panel jemputan Project Management Consultant Ernst & Young yang terdiri daripada Yeap Bee Aik, Adrian Lim dan Chua Meng Hui.

“Sebagai rujukan kepada pembayar cukai, Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 3.0) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 2.2) telah dimuat naik di portal rasmi HASiL menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois ,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button