Berita Semasa

Usul gantung Ahli Parlimen Machang selama 6 bulan dijangka dibahaskan hari ini

KUALA LUMPUR – Usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan dijangka dibahaskan hari ini.

Ia dicadangkan susulan dakwaannya berkaitan surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul itu menyatakan Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.

Jelasnya, tuduhan tidak berasas itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada individu didakwa tetapi juga secara umum termasuk pegawai agensi di bawah kementerian.

“Ahli Parlimen tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain dalam menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.

“Dakwaan Wan Ahmad Fayhsal juga disifatkan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus-lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, usul itu turut menyatakan bahawa dakwaan itu adalah serius dan mampu membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.

Pada 1 Julai lalu, Wan Ahmad Fayhsal ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat menuntut penjelasan diberikan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan dalang di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wan Ahmad Fayhsal sebelum itu mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sementara itu, pegawai kepada Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan Ahli Parlimen itu akan mengadakan sidang media di Parlimen selepas usul penggantungan berkenaan dibacakan.

Show More

Related Articles

Back to top button