Berita SemasaJenayah & Mahkamah

6 maut di Bangkok: Racun kimia ditemui dalam dalam cawan mangsa

BANGKOK – Punca kematian enam individu di sebuah bilik hotel di Ratchaprasong petang kelmarin dipercayai berkait rapat dengan penggunaan racun kimia jenis sianida menurut siasatan awal forensik.

Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Polis Nopasilp Poonsawat berkata, bukti forensik mendapati cawan yang diletakkan di bilik tersebut mengandungi racun tersebut.

“Berdasarkan keputusan ujian awal, analisis kualitatif mengenal pasti kehadiran sianida dalam cecair dalam teko teh serta sisa pada enam cawan kopi.

“Dalam siasatan kami setakat ini, kami mengesyaki bahawa seorang daripada enam individu yang ditemukan di bilik itu bertanggungjawab atas kematian itu dengan menggunakan sianida,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Katanya, pihak polis akan mengumpulkan semua bukti berhubung kes itu pada masa sama mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh dan telus.

Pihak terbabit termasuk pegawai Vietnam dan Amerika Syarikat (AS) serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Jelas beliau, siasatan mengesahkan kes tersebut berpunca akibat masalah peribadi yang wujud antara individu tersebut dan tidak membabitkan mana-mana kumpulan atau organisasi jenayah di Thailand.

“Pemeriksaan ke atas kesemua lapan beg perjalanan milik si mati tidak mendedahkan sebarang barangan haram. Bagaimanapun, kami menemukan dokumen sah berkaitan tuntutan mahkamah mengenai tanah dari tahun 2022.

“Dokumen ini akan diterjemahkan oleh jurubahasa, tetapi tiada kaitan langsung dengan insiden semasa pada masa ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata polis mengarahkan Biro Imigresen untuk bekerjasama dengan Kedutaan Vietnam bagi menyiasat latar belakang semua mangsa.

Terdahulu, enam mayat yang dilaporkan terdiri daripada dua warga AS keturunan Vietnam dan empat rakyat Vietnam ditemukan di sebuah bilik hotel terkemuka di Ratchaprasong sekitar pukul 4.30 petang kelmarin.

Menurut siasatan polis, keenam-enam mangsa itu telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 24 jam akibat keracunan kerana tiada tanda-tanda trauma atau rompakan dikesan.

Show More

Related Articles

Back to top button