Berita Semasa

Remaja dilapor hilang sebenarnya tinggal di rumah rakan

Pulang ke rumah keluarga tengah malam tadi

KUALA PILAH – Seorang remaja lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 11 Julai lalu, telah kembali ke rumah keluarganya di Ampang Tinggi, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, Muhammad Adi Putra Yusri, 17, telah pulang ke rumah keluarganya kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Jelasnya, remaja itu sebenarnya menginap di rumah rakannya di Kampung Merual, Seri Menanti di sini iaitu kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.

“Sepanjang tinggal di rumah rakannya itu, dia berada dalam keadaan selamat, sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Remaja itu telah selamat pulang ke rumah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, pihak polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 11 Julai lalu.

Lokasi terakhir dia dilihat adalah sekitar Ampang Tinggi dekat Tanjong Ipoh dengan memakai baju kemeja-t lengan pendek warna hijau, seluar pendek warna hitam dan berselipar.

Show More

Related Articles

Back to top button