Program Tuisyen Rakyat RISDA @ KKDW tingkat prestasi anak pekebun kecil RISDA
KUALA LUMPUR – Seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, sepanjang tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM4.16 juta kepada RISDA untuk pelaksanaan program yang bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan pelajar luar bandar, khususnya anak-anak pekebun kecil di bawah RISDA.
Beliau berkata, dari segi prestasi, seramai dua pelajar yang mengikuti program itu berjaya memperoleh keputusan 12A, 19 pelajar memperoleh 11A, 17 pelajar memperoleh 10 A manakala majoriti yang lain memperoleh keputusan lebih 5A.
“Secara keseluruhan, peruntukan yang diterima itu telah memberi manfaat kepada 3,000 pelajar yang menerima pendidikan tambahan daripada 1,000 orang guru di 200 pusat tuisyen di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Aprisiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA tahun 2023 di ibu negara, hari ini.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pada majlis itu, pelajar yang memperoleh keputusan 10A hingga 12A menerima wang tunai RM500 manakala pelajar yang memperoleh 5A hingga 9A menerima RM300.
Manndzri berkata, sejak mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9), program yang dahulu dikenali sebagai Tuisyen Desa itu telah menunjukkan keberkesanannya dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar.
“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan KKDW di atas sokongan dalam memberikan pendidikan tambahan percuma kepada anak-anak pekebun kecil di kawasan luar bandar.
“Sudah pasti usaha ini bukan sahaja memberikan mereka pendidikan tetapi mampu menjadi batu loncatan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang juga anak pekebun kecil di Felda Penggeli Timur, Kota Tinggi, Johor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui Program Tuisyen Rakyat, kelas tambahan memfokuskan kepada lima mata pelajaran teras iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
“Bagi menghargai pengorbanan guru-guru yang terlibat sebagai tenaga pengajar, bayaran insentif sebanyak RM250 diberikan bagi setiap subjek.
“Saya yakin inisiatif ini akan dapat memperkasakan ruang penerokaan minda anak-anak untuk maju lebih jauh dalam apa bidang yang diceburi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada RISDA sebagai agensi pelaksana yang telah membuktikan kesungguhan meneraju kemajuan pekebun kecil.
“Kejayaan 640 pelajar ini adalah satu pencapaian yang perlu dikongsi dan dihargai sebagai bukti betapa pentingnya sokongan dan usaha bersama dalam membantu pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.