Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Jenazah Nur Farah Kartini masih belum boleh dituntut

SUNGAI BULOH – Jenazah mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, masih belum boleh dituntut hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu kerana pihaknya perlu menunggu keputusan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) yang diambil daripada ahli keluarganya.

“Tidak (tuntut jenazah hari ini) kerana ia (keputusan ujian DNA) mungkin ambil masa beberapa hari,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Perkara itu turut diakui oleh abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, yang memaklumkan pihaknya perlu menunggu keputusan DNA sebelum boleh menuntut jenazah adiknya itu.

Semalam proses bedah siasat mangsa selesai sepenuhnya pada jam 5.30 petang.

Isnin lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang , Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Pemeriksaan awal mendapati mayat itu dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, seorang anggota polis yang dipercayai teman lelaki mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Show More

Related Articles

Back to top button