Berita Semasa

4 lagi disiasat buat komen jelik, provokatif di media sosial – MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat empat lagi suspek berhubung komen jelik dan provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai lalu.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, sesi rakaman percakapan terhadap empat suspek itu dilakukan di empat lokasi berasingan iaitu di Rawang, Selangor; Sungai Petani, Kedah; Butterworth, Pulau Pinang dan Kangar, Perlis setelah aduan diterima daripada orang awam.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah disiasat seramai enam orang. Tindakan ini adalah untuk membendung gejala buli siber yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.

“Dalam operasi yang dijalankan, kad sim dan telefon pintar milik keempat-empat suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Terdahulu, MCMC telah menyerahkan notis kehadiran kepada kesemua suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.

Salah seorang yang disiasat kerana memuat naik komen jelik dan provokatif dalam media sosial

Dalam pada itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, seksyen itu melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu
orang lain.

Komen jelik dan provokatif yang dimuat naik dalam media sosial

“MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komen yang bertentangan dengan undang-undang negara. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian yang menganggu
gugat keharmonian social,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button