Berita Semasa

SKM peruntuk RM2.5 juta kepada ANGKASA

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memberi peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi tahun ini.

Menurut SKM, dana tersebut adalah bagi membiayai pelaksanaan Program Pembangunan Perniagaan Koperasi melalui ANGKASA berjumlah RM2 juta dan Tabung Pendidikan ANGKASA (TAPAK) berjumlah RM500,000.

“Program Pembangunan Perniagaan Koperasi melalui ANGKASA adalah untuk memudahcara dalam membantu koperasi mengembangkan perniagaan serta meningkatkan jaringan perniagaan.

“Selain itu, dana ini juga bertujuan untuk memasarkan produk secara atas talian atau fizikal untuk pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya program itu juga dapat membantu dalam mendapatkan sijil halal serta melaksanakan program pembangunan lain seperti pemerkasaan peniagaan, intervensi perniagaan koperasi dan pendigitalan koperasi.

Mengulas lanjut berkaitan TAPAK, SKM berkata tabung itu bertujuan memberi kemudahan untuk membina dan meningkatkan taraf pendidikan komuniti koperasi.

Jelasnya, menerusi tabung itu kemudahan pembiayaan pendidikan boleh ubah disediakan kepada anggota, anak anggota dan kakitangan koperasi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau Doktor Falsafah di Malaysia.

“Dana berjumlah RM500,000 bagi membiayai Program Pendidikan ANGKASA bakal memberi manfaat kepada 141 pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” ujarnya.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button