Berita Semasa

Dikritik tidak papar kebudayaan Melayu, video promosi George Town Festival diturunkan

GEORGE TOWN – Penganjur George Town Festival 2024 memohon maaf dan telah menurunkan semua siaran video di laman media sosial serta laman sesawang selepas dikritik kerana tidak memaparkan kebudayaan kaum Melayu dalam promosi festival tersebut.

Menurutnya dalam satu kenyataan, pihaknya berasa kesal sekiranya video teaser promosi itu telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan.

“Demi mengurangkan salah faham, pasukan George Town Festival 2024 telah menurunkan semua siaran yang berkaitan dengan video tersebut di halaman media sosial, laman sesawang dan juga saluran YouTube George Town Festival.

“Sebenarnya, kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah mencuba sedaya upaya dalam memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara video promosi yang diturunkan oleh pihak penganjur

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam teaser video tersebut.

“Kebudayaan Melayu memang kaya dengan elemen kesenian dan kebudayaan yang telah ditonjolkan dalam George Town Festival setiap tahun. Untuk tahun ini, terdapat lapan program dari individu dan kumpulan masyarakat Melayu, termasuk persembahan PEON oleh Patblas Creative, lawatan berpandu: Pengalaman Prangin oleh Moka Mocha Ink dan C.O.R.E. Konsert Tempatan oleh Uah Music Culture.

“Selain persembahan Chorelab Asia Tenggara oleh MyDance Alliance, persembahan tarian di tempat oleh MyDance Alliance, pameran Seni USM: Pelayaran Penemuan @GTF dan bengkel 63-65: Nota daripada Bengkel Perpisahan oleh Bahri & Co. 8. Persembahan: Eksperimen@Courtyard China House,” katanya.

Sementara itu katanya, pasukan George Town Festival 2024 akan terus mempromosikan George Town Festival sebagai festival yang memupuk semangat muhibah demi mewujudkan masyarakat Malaysia madani yang makmur.

“Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan dan kesulitan, kekhilafan dan salah faham yang mungkin tertimbul. Kami akan terus berusaha untuk menjayakan George Town Festival 2024 dengan rendah diri,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button