Sukan

Sepanyol berhak jadi juara Euro 2024 – Southgate

BERLIN – Impian pengendali pasukan England, Gareth Southgate untuk menyaksikan skuad kendaliannya menjuari Euro buat kali pertama lebur buat kali kedua, selepas tewas di tangan Sepanyol 2-1 pada perlawanan akhir Euro 2024 awal pagi tadi.

Menurut Southgate, anak buahnya gagal mendominasi penguasaan bola sepanjang permainan selepas Sepanyol menikmati 63 peratus penguasaan bola.

“Seperti biasa dalam perlawanan sebegini, jurangnya kecil. Tetapi saya fikir mereka pasukan terbaik pada kejohanan ini dan akhirnya mereka berhak menang.

“Kami bersaing hingga minit terakhir pada final. Saya fikir hari ini kami tidak banyak menguasai pegangan bola,” katanya dalam satu sidang media selepas perlawanan.

Sebagai rekod, England tidak pernah menjuarai Euro dan kali terakhir pasukan yang diberi jolokan ‘The Three Lions’ itu memenangi trofi adalah sewaktu Piala Dunia 1966.

Pada 2021, Itali menundukkan England 3-2 menerusi penentuan penalti selepas aksi sebenar berakhir seri 1-1 dalam perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley.

“Mereka menekan anda dan anda perlu keluar daripada tekanan ini tetapi kami tidak berjaya melakukannya dan akhirnya bermakna mereka lebih banyak menguasai perlawanan ini dan ia boleh meletihkan anda.

“Bagaimanapun, kami sebenarnya masih berpeluang apabila kami mendapat gol penyamaan, jadi perlawanan masih terbuka luas,” katanya, menyesali peluang lewat England apabila satu tandukan diselamatkan di atas garisan gol.

“Sudah tentu ia mengambil masa agak lama untuk menghadam semua ini,” katanya, menyedari persembahan di bawah tahap sebenar kapten Harry Kane yang kurang tajam dan digantikan.

“Secara fizikal, ia satu tempoh yang sukar buatnya. Dia tidak berada pada tahap yang kami harapkan,” ujar Southgate yang tidak memberikan sebarang komen mengenai masa depannya.

Dalam aksi yang penuh dramatik awal pagi tadi, Sepanyol membuka tiral jaringan menerusi gol Nico Williams yang menerima umpanan daripada pemain sayap, Lamine Yamal dua minit selepas separuh masa kedua.

Walaubagaimanapun, England bangkit dengan jaringan pemain gantian, Cole Palmer yang menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Gol kemenangan Sepanyol kemudian dijaringkan pemain gantian, Mikel Oyarzabal pada minit ke-86, sekali gus membantu pasukan itu menjulang trofi Euro buat kali keempat selepas kali terakhir menjuarinya pada tahun 2012.

Show More

Related Articles

Back to top button