Berita Semasa

Mayat pelajar jatuh bot di Sungai Pahang ditemui terapung

KUANTAN – Pelajar tingkatan lima yang dipercayai terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di Sungai Pahang dekat Pekan Sabtu lalu dijumpai orang awam pada pukul 11.44 pagi tadi.

Mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran itu ditemukan dalam keadaan terapung di sungai terbabit.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, mayat Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri, 17, ditemukan kira-kira 25 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Semalam, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan, pihaknya menerima panggilan melaporkan kejadian seorang lelaki terjauh ke sungai ketika mengemudi bot di lokasi tersebut.

Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan semalam melibatkan anggota bomba, polis dan penduduk Kampung Belimbing dan Kampung Orang Asli Tanah Merah.

Difahamkan, bot yang dikemudi pelajar terbabit dipercayai terlanggar kayu dan sebelum mangsa tercampak ke dalam sungai.

Show More

Related Articles

Back to top button