Jenayah & Mahkamah

Bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman gantung

Diganti hukuman penjara 33 tahun, 12 sebatan

JOHOR BAHRU – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas bekas pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila atas kesalahan membunuh seorang pegawai AmBank cawangan Subang Jaya, pada 2013.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

La Ode,47, dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun berserta 12 sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia yang berasal dari Sulawesi, Indonesia itu turut dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun berserta 12 sebatan bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 10 November 2013.

Dia didakwa membunuh Norazita Abu Talib yang ketika itu berusia 37 tahun dalam bangunan AmBank di alamat Nombor 5 dan 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Selepas menembak mangsa dengan selaras senapang patah, La Ode kemudian meminta rakan sekerja mangsa untuk mengisi wang bernilai kira-kira RM500,000 ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Kee Wie Lon yang dibantu pelatih guaman, Ee Gen You.

Pada 29 Februari 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman gantung terhadap tertuduh selepas panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif.

Keputusan itu dibuat selepas panel hakim sebulat suara menolak rayuan La Ode kerana berpuas hati terdapat bukti mencukupi bagi mengekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, sebelum itu.

La Ode menetap di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap dan mencari kerja di Malaysia sebelum menjadi seorang pengawal keselamatan pada tahun 2012.

Show More

Related Articles

Back to top button