Berita Semasa

Pemeriksaan kesihatan termasuk ujian HIV pelajar baharu IPT sudah dilaksana

KANGAR – Inisiatif pemeriksaan kesihatan termasuk ujian HIV terhadap pelajar baharu yang melanjutkan pengajian ke universiti tempatan sudah dilaksanakan dan ia bukan sesuatu yang baharu, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, proses yang berfungsi untuk mendapatkan laporan perubatan pelajar itu perlu dilakukan sebelum mereka mendaftar masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia.

“Itu telah lama dilakukan cuma mungkin kali ini diuar-uarkan disebabkan perbahasan di peringkat Parlimen yang bertanya dari segi jumlah bilangan (kes HIV dalam kalangan pelajar) dan sebagainya.

“Proses pemeriksaan kesihatan itu dibuat dari segi perubatan, jadi ia bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar, di sini.

Beliau ditanya mengenai satu laporan berita yang menggesakan agar universiti mewajibkan ujian HIV terhadap pelajar baharu susulan peningkatan kes melibatkan golongan itu.

Dalam laporan itu, Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Nazirah Abdullah turut berkata penularan kes HIV gagal ditangani di peringkat IPT kerana kekurangan usaha merangka dasar dan pelaksanaan program kesedaran kepada pelajar.

Sebelum ini, Zambry menerusi Parlimen mendedahkan bahawa terdapat peningkatan membimbangkan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT negara ini.

Menurut data itu, seramai 214 pelajar IPT awam dan swasta yang berumur 18 hingga 25 tahun dilaporkan menghidap HIV pada 2020.

Bagaimanapun, angka itu menurun kepada 186 kes pada 2021 tetapi meningkat kepada 221 kes pada 2022, seterusnya 244 kes tahun lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button