Berita SemasaPM X

Jangan jadikan Felda tempat tempat benci-membenci, cetus perpecahan – Anwar

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya Felda tidak menjadi tempat berlakunya perpecahan, benci-membenci dan perseteruan.

Jelas beliau, sebaliknya agensi tersebut haruslah menunjukkan teladan yang baik terutamanya dari segi tatakelola untuk dijadikan contoh kepada agensi kerajaan lain.

Mengambil contoh nilai dan pengajaran peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW, beliau berkata ia harus dihayati dan dijadikan panduan bagi membantu dalam mencorak perubahan di Felda.

“Apakah ada semangat, nilai yang sama. Apakah ada pengurusan yang cemerlang, apakah ada semangat untuk bawa kebaikan kerana yang berlaku, (yang) tinggal adalah amalan lapuk, sikap lapuk. (Perlu) tinggalkan kezaliman dan bawa perubahan.

“Mudah-mudahan kita dapat bawa perubahan ini kepada semua. Saya juga yakin Insya-Allah kalau kita ada kefahaman betul atau kalau Felda berhasil betul-betul boleh jadi contoh terbaik. Bagaimana orang miskin diberi tanah dan diangkat martabat mereka. Ini martabat Felda, itu isyaratnya.

“Yang baik percayalah bukan saya mahupun (Ahmad) Zahid dan kawan-kawan dalam Kabinet akan bantu (buat perubahan) tetapi kesediaan mesti ada. Jangan jadikan Felda tempat pecah-belah, (cetus) kebencian dan perseteruan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam ucapannya semasa merasmikan sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan barisan pimpinan Felda supaya menjalankan tugasan mereka dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

Tegas beliau, pihak kerajaan tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan terhadap mana-mana pimpinannya yang didapati bersalah sekiranya berlaku kecurangan dalam pentadbiran.

“Saya kata Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jalankan kerja, jangan kria siapa termasuk Felda saya beri peringatan, salah sesiapa (tidak menjalankan tanggungjawab) juga tindakan akan diambil,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button