Berita Semasa

KDN sedia keluar pasport tempoh sah 10 tahun

KOTA KINABALU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk mengeluarkan pasport dengan tempoh sah selama 10 tahun, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tarikh pelaksanaan pengeluaran pasport tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas kajian mengenai perkara ini selesai dijalankan.

Menurut Saifuddin, pengeluaran pasport ini akan memberikan rakyat pilihan untuk memilih pasport dengan tempoh sah selama lima atau 10 tahun.

“Apakah kita sudah bersedia, ya… setelah kajian sempurna, kita membuat ketetapan bahawa kita ke arah itu (pasport 10 tahun),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan pejabat pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Beliau menambah sebelum ini beberapa kajian libat urus telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen untuk melihat kesesuaian bagi Malaysia mengeluarkan pasport berkenaan, seperti amalan di negara lain.

“Negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina, dan Singapura, serta negara seperti Amerika Syarikat dan Itali, turut mengeluarkan pasport dengan tempoh sah selama 10 tahun,” jelasnya

Saifuddin turut berkata pemegang pasport Malaysia boleh mendapat pengecualian visa di hampir 183 buah negara, yang meletakkan Malaysia di tempat ke-12 dalam ranking dunia berdasarkan data 2024 yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Mengenai pembukaan pejabat pasport di LTAKK, Saifuddin berkata ia adalah pejabat Jabatan Imigresen ke-72 di seluruh negara dan yang pertama terletak di dalam bangunan lapangan terbang.

“Di Sabah, ia adalah pejabat Jabatan Imigresen ketujuh dan telah beroperasi sejak dua minggu lepas. Buat permulaan, pejabat berkenaan hanya memproses permohonan bagi urusan pasport antarabangsa,” jelasnya.

Tambahnya, laluan pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau juga telah ditambah kepada enam laluan untuk memudahkan urusan penumpang di Pantai Timur Sabah.

Show More

Related Articles

Back to top button