Berita Semasa

3 pekerja penyelenggaraan maut dirempuh kereta di lebuhraya NKVE

SHAH ALAM – Tiga pekerja syarikat penyelenggaraan maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 3.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah Damansara dipercayai telah hilang kawalan.

“Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan itu telah melanggar penghalang air dan pembahagi tengah lebuh raya sebelum merempuh kesemua mangsa yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di lebuh raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kemalangan tersebut mengakibatkan tiga lelaki warga India maut di tempat kejadian manakala seorang lelaki warga Bangladesh mengalami cedera ringan.

“Mangsa yang maut dan cedera, yang berusia lingkungan 24 hingga 29 tahun, telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Katanya, pemandu kereta Proton Waja tersebut, yang berumur lingkungan 20-an, telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

“Ujian darah dan air kencing telah dijalankan terhadap pemandu tersebut untuk pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan sebab kematian,” tambah beliau.

Mohd Iqbal turut menyeru saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Asisten Superintenden Raja Mahadi Raja Mahmudin di talian 012-3097660,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button