Berita Semasa

YKM peruntuk RM300,000 bagi hadiah kecemerlangan SPM, bantuan kasih

KAJANG – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meraikan 515 penerima program Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan Bantuan Kasih YKM fasa dua yang melibatkan perbelanjaan hampir RM300,000.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah berkunjung ke rumah salah seorang penerima, Haziq Safwan Shahril di sini semalam bagi menyampaikan insentif hadiah kecemerlangan SPM berbentuk wang tunai RM1,000.

Katanya, Haziq telah mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan SPM tahun lalu dan akan menyambung pelajaran di German-Malaysian Institute (GMI) dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Perisian (Diploma in Software Engineering).

“Saya berharap bantuan yang diberikan kepada Haziq akan dimanfaatkan sebaiknya sewaktu menyambung pelajaran kelak.

“Pendidikan merupakan agenda utama pihak YKM terhadap pemberian bantuan ini kerana pendidikan mampu mengubah nasib sesebuah keluarga itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, dua lagi penerima insentif tersebut adalah Nur Alieya Nafisya Muhamad Farid dan Intan Elya Rumaisa Zainudin yang masing-masing mencatatkan keputusan 6A.

Katanya, Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 itu akan dikreditkan bersama-sama dengan Bantuan Kasih YKM fasa dua kepada para penerima yang layak pada 19 Julai 2024.

“Bantuan bagi fasa dua ini adalah bukti komitmen berterusan pihak YKM dalam membela nasib anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19.

“Sebelum ini, pada 20 Mac 2024, YKM telah menyalurkan sebanyak RM515,000 bagi fasa satu Bantuan Kasih YKM,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata pada tahun ini YKM telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta kepada lebih 700 anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19 menerusi inisiatif bantuan kasih, persekolahan dan menara gading.

Bantuan Kasih YKM merupakan salah satu inisiatif yang diberikan secara tahunan dan dikreditkan kepada akaun penerima yang layak kepada tiga fasa iaitu pada Mac, Julai dan November.

Sejak YKM ditubuhkan, pelbagai jenis bantuan telah diberikan kepada mereka yang layak khususnya anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40 yang kehilangan ibu, bapa dan ibu bapa akibat pandemik COVID-19, kemalangan dan bencana alam.

Show More

Related Articles

Back to top button