Berita Semasa

Warga emas maut dalam kebakaran

TUMPAT – Seorang wanita warga emas ditemui maut dalam kebakaran sebuah rumah dipercayai kerana panahan petir di Kampung Bukit, Wakaf Bharu, di sini, malam tadi.

Mangsa, Halimah Awang, 85 tahun, yang tinggal bersendirian, ditemukan oleh anggota bomba di dalam bilik air dalam keadaan tertiarap dengan kesan melecur di beberapa bahagian tubuh.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.30 malam, seorang saksi dikenali sebagai Mizi, berusia 40-an menceritakan sebelum kebakaran, dia mendengar bunyi petir yang sangat kuat.

Beberapa minit kemudian, dia terlihat api menyala dari rumah mangsa yang hanya berjarak kurang 100 meter dari rumahnya.

“Saya segera menuju ke rumah mok su (mangsa) dan sebaik tiba, saya melihat api sedang marak di ruang tengah rumah. Anak mangsa yang tinggal di sebelah rumah memberitahu ibunya masih berada di dalam.

“Saya cuba mengelilingi rumah mok su (mangsa) untuk mencari jalan masuk tetapi api semakin marak. Saya memecahkan beberapa tingkap sambil memanggil mok su (mangsa), namun tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Mizi, dia dan beberapa penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian tidak dapat berbuat apa-apa selain menghubungi pihak bomba.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Nazah Nafi, berkata sepasukan 19 pegawai dan anggota, termasuk dari BBP Tunjong, bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 8.03 malam.

“Sebaik tiba, kebakaran telah memusnahkan 70 peratus rumah tersebut. Apabila api dapat dikawal pada jam 8.37 malam, kami menemui mangsa dalam bilik tidur dalam keadaan tertiarap dengan beberapa bahagian badannya melecur.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan walaupun khabar angin mengenai petir masih belum disahkan.

Show More

Related Articles

Back to top button