Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Usahawan, koperator jangan abai kepentingan AI – IKMa

MIRI – Golongan usahawan dan koperator perlu melengkapkan diri dan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan perniagaan sekaligus melipatgandakan pendapatan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, sektor keusahawanan perlu bergerak seiring dengan teknologi yang sedang pesat berkembang itu untuk memastikan pengurusan syarikat, perkhidmatan dan penawaran produk dipertingkatkan.

Katanya, sektor perniagaan pada hari ini tidak boleh mengabaikan penggunaan teknologi automasi itu kerana  mampu memberi anjakan yang hebat tanpa terlalu bergantung kepada tumpuan dan daya kemahiran manusia.

“AI telah berkembang dengan maju dan banyak syarikat luar negara telah masuk ke Malaysia melalui pelaburan yang agak tinggi tentang teknologi AI.

“Semua usahawan, kontraktor dan lain-lain perlu ambil peluang ini untuk meningkatkan kecekapan kerja dan menjana lebih banyak pendapatan.

“AI bukan sahaja membantu mengurangkan beban kerja seperti kemasukan data, pengurusan dan penyimpanan rekod malah menjimatkan masa dan mengurangkan kesilapan,” katanya pada perasmian program Bicara Ilmu Kecerdasan Buatan (AI): Memperkasa Perniagaan Koperasi di sini, semalam.

Onn pada perasmian program Bicara Ilmu Kecerdasan Buatan (AI) di Miri, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor; Lembaga Pengarah IKMa merangkap Pengerusi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Datuk Wira Dr Rosli Mat Hassan; Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Bahagian Miri, Lily Fawziah Adnan dan Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Miri, Ibrahim Mohamad.

Seramai 170 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli koperasi, usahawan tempatan dan dari Brunei menyertai program tersebut.

Onn berkata, penglibatan koperator dari negara jiran itu adalah sebagai komitmen bersama untuk memajukan gerakan koperasi di rantau ASEAN.

Katanya, selepas 100 tahun tertubuhnya gerakan koperasi di Malaysia, sektor itu telah berkembang dengan baik dan menyumbang pendapatan yang signifikan kepada ekonomi negara.

“Sehingga Disember 2023, terdapat sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta dengan jumlah syer/yuran sebanyak RM17,448.65 juta.

“Ini menunjukkan skala gerakan ini di peringkat nasional dengan penglibatan meluas rakyat Malaysia dalam sektor ini,” ujar beliau.

Katanya, sepanjang tempoh seabad itu juga, IKMa berbangga melihat pencapaian gerakan koperasi yang telah berjaya mengharungi seribu satu cabaran.

 

Show More

Related Articles

Back to top button