Berita Semasa

Ratusan kakitangan pejabat bangunan tinggi di Sabah rasai gegaran

KOTA KINABALU – Gempa bumi berukuran 6.6 Skala Richter yang berlaku di wilayah selatan Filipina semalam turut dirasai di beberapa bangunan tinggi di negeri ini.

Dalam kejadian pagi semalam, beratus-ratus pekerja di bandar ini, Tawau, Labuan, Putatan dan Limbang terpaksa mengosongkan pejabat mereka selepas merasakan gegaran ringan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, tiada laporan mengenai kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa akibat gegaran itu.

Katanya, gegaran dirasai di Menara Tun Mustapha, Menara Kinabalu dan bangunan pentadbiran negeri yang mempunyai ketinggian lebih kurang 30 tingkat.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidarkhan Bahadur semalam turut mengarahkan pemeriksaan segera dilakukan di Menara Tun Mustapha yang dibina pada 1976.

Kakitangan di Sabah Electricity Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Wisma Wanita turut mengosongkan bangunan pejabat mereka berikutan gegaran yang berlarutan tidak sampai seminit.

Show More

Related Articles

Back to top button