Jenayah & Mahkamah

Pemuzik jalanan ajar isteri Millah Abraham dipenjara sebulan, denda RM2,000

SEREMBAN – Seorang pemuzik jalanan dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000  atas kesalahan mengajar isterinya ajaran sesat berkaitan Millah Abraham di Felda Palong 3, Gemas, tahun lepas.

Norasid Md Said, 50, dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Ruzita Ramli.

Dia mengaku mengajar ajaran yang berlawanan hukum syarak kepada isterinya dengan menyatakan bahawa “selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul rasul baharu.”

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari 1 hingga 30 September di rumah bernombor 260, Felda Palong 3 pada sekitar pukul 10 hingga 11 malam.

Dakwaan itu disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli, Mohd Hafiz Mohd Lazim dan Mohd Amil Yahya manakala Norasid tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Abdul Wafi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum selepas mengambil kira perbuatan itu memudaratkan akidah penganut Islam.

Sementara itu, Norasid yang mempunyai tiga anak pula memohon hukuman ringan atas alasan dia adalah penghidap HIV dan bekerja sendiri serta melakukan kerja-kerja lain dengan pendapatan kurang daripada RM1,200 sebulan.

Bagaimanapun, dia diminta membicarakan atas dua lagi pertuduhan iaitu mengajar isterinya berkaitan lafaz syahadah yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu “aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Tuan semesta alam dan Rasul Mesiah adalah Pesuruh Tuan sekalian alam” di lokasi dan masa sama antara 1 hingga 30 Jun 2023.

Selain itu, dia didakwa mengajar isterinya bahawa “solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek” di lokasi dan masa sama antara 1 hingga 31 Ogos 2023.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat perlu melapor diri di pejabat penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dua minggu sekali.

Ruzita membenarkan Norasid diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat kuasa JHEAINS dua minggu sekali.

Dalam pada itu, beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 7 Oktober depan.

Show More

Related Articles

Back to top button