Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Lelaki gantung diri tidak tahan derita sakit kronik

DENGKIL- Seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah taman permainan awam di Taman Baiduri, di sini bersama sekeping nota menyatakan dirinya tidak lagi mampu menahan kesakitan akibat sakit kronik.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat lelaki berusia 27 tahun itu ditemui orang awam dan pemeriksaan lanjut di bilik tidur mangsa menemui sekeping nota.

Katanya, nota berbahasa Tamil yang ditinggalkan pekerja tukang cuci di sebuah syarikat swasta itu meminta ahli keluarga memaafkannya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematiannya.

“Polis menerima laporan orang awam pada pukul 7.45 pagi yang memaklumkan menemui mayat tergantung pada palang buaian di sebuah taman permainan awam di Taman Baiduri, Dengkil.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dipercayai menghidap penyakit kronik seperti dalam rekod perubatan dari sebuah klinik swasta,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk bedah siasat.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi kejadian itu,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button