Jenayah & Mahkamah

4 hari anak dibiar tidur di kaki lima flat, pasangan suami isteri direman 5 hari

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri direman selama lima hari bermula semalam selepas disyaki meninggalkan anak mereka tidur di kaki lima perumahan flat keluarga berkenaan di Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pasangan warga tempatan berusia 56 dan 54 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam susulan tular di media sosial beberapa keping gambar remaja terbabit tidur di kaki lima.

Katanya, pihaknya mula mengesan gambar yang dimuat naik oleh pengendali akaun Facebook Group Komuniti Taman Air Biru itu semalam sebelum mengendalikan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja lelaki berusia 13 tahun itu telah diabaikan oleh ibu bapanya dengan dibiarkan tidur di kaki lima perumahan itu selama empat hari sejak Ahad lepas sehingga semalam.

“Melalui semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata pasangan berkenaan ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal atau emosi.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button