Berita Semasa

Polis klasifikasi kematian dua wanita sebagai SDR

SEBERANG PERAI – Kes kematian dua wanita yang jasad mereka ditemukan dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda WRV di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam di sini semalam, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, proses bedah siasat telah selesai dijalankan di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai SDR (mati mengejut),” katanya, hari ini.

Sementara itu, jenazah wanita berusia 25 dan 32 tahun itu sudah dituntut ahli keluarga pada pukul 2 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Jenazah kemudiannya dibawa pulang dengan menaiki van ke Seremban, Negeri Sembilan untuk proses pengebumian.

Laporan media sebelum ini menyebut, kedua-dua jasad tersebut ditemukan sudah membusuk, dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih lima hari.

Sementara itu, laporan Kosmo menyebut satu daripada dua mayat wanita yang ditemukan dalam SUV berkenaan merupakan penjawat awam.

Perkara itu disahkan salah seorang waris mangsa berusia 32 tahun di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, hari ini.

Mangsa dipercayai datang ke negeri ini bersama rakannya berusia 25 tahun dari Seremban untuk bercuti.

Show More

Related Articles

Back to top button