Berita Semasa

Malaysia-Kuwait perkukuh kerjasama pertahanan melalui MoU baharu

PUTRAJAYA – Malaysia dan Kuwait meningkatkan kemajuan dalam hubungan bilateral dan pertahanan melalui usaha yang akan diperkukuh dengan satu memorandum persefahaman (MoU) baharu yang bakal ditandatangani dalam masa terdekat ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia berbesar hati dengan perkembangan tersebut dan berharap kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus diperkuat.

“Malaysia dan Kuwait membincangkan beberapa perkara penting, termasuk hasrat Malaysia untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) kepada Malaysia setelah KAF menerima Super Hornet baharunya

“Pertemuan tersebut turut melibatkan perbincangan mengenai “Military-to-Military Cooperation”, kerjasama industri pertahanan dan situasi konflik di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kedua-dua negara berharap agar perbincangan tersebut dapat membuka lebih banyak peluang untuk kolaborasi yang bermanfaat bagi keselamatan dan kestabilan serantau.

“Malaysia berharap agar hubungan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait dapat terus dipertingkatkan, seterusnya memberikan manfaat kepada kedua-duanya,” tambahnya lagi.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.

Hubungan pertahanan yang kukuh antara Malaysia dan Kuwait dijangka dapat memperluas skop kerjasama kedua-dua negara dan menyumbang kepada keselamatan serantau.

Show More

Related Articles

Back to top button