Berita Semasa

Projek Reben Kuning tawar kursus kemahiran di seluruh negara

KAJANG – Sebanyak 22 kursus kemahiran akan ditawarkan kepada 300 penghuni Sekolah Henry Gurney di seluruh negara melalui Projek Reben Kuning 2024 yang dijadualkan bermula pada Julai hingga Ogos tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program anjuran kementerian bersama Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu adalah sebagai persediaan para pelatih mendapatkan pekerjaan selepas tamat tempoh tahanan.

“Antara kursus kemahiran yang ditawarkan melalui program ini adalah penyelenggaraan kenderaan, pembaikan perkakas elektrik, pendawaian, fotografi, terapi sukan, gunting rambut, penyajian, kimpalan dan percetakan.

“Program melalui jalinan kerjasama rentas agensi kerajaan ini juga sebahagian daripada inisiatif intervensi sosial bagi membina persepsi positif masyarakat terhadap prospek belia serta penghuni Sekolah Henry Gurney,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah berkata demikian susulan lawatan Projek Reben Kuning Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2024
di Penjara Wanita Kajang, hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan
Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.

Bagi projek itu, seramai 20 orang belia wanita dari Penjara Kajang selesai mengikuti Kursus Terapi Urutan Sukan Golf dan Kursus Asas Operasi Kedi Gold di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG), KBS yang dijalankan antara 7 hingga 10 Julai lalu.

Pada majlis itu, Hannah turut menyampaikan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Gangsa kepada enam prospek belia wanita di Penjara Wanita Kajang.

Katanya, pelaksanaan projek itu diharapkan menjadi platform perubahan kepada peserta, terutama kumpulan belia berisiko sekaligus memperkuatkan ekosistem pembangunan belia selaras dengan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030) dan kerangka Malaysia Madani.

Pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung penganjuran program ini boleh diperolehi dari JBSN melalui talian 03-8871 3463
atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button