Berita Semasa

Penarafan kredit CBP tambah keyakinan pelanggan

KUALA LUMPUR – Penarafan kredit sulung A3/Stable/P2 yang diterima Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) akan mengukuhkan jenama bank koperasi itu dalam industri kewangan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, penarafan kredit itu secara tidak langsung telah meningkatkan keyakinan orang ramai dan pelabur terhadap keupayaan CBP.

“Pengiktirafan ini merupakan rangsangan penting bagi CBP untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dan secara tidak langsung bersaing secara sihat dengan institusi kewangan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Anuar berkata, pencapaian itu juga dilihat sebagai satu langkah ke arah menarik dan meyakinkan pelabur sekaligus menyokong rancangan CBP menerbitkan sukuk bagi pertumbuhan dan pengembangan perniagaan.

“Selain itu, CBP telah menunjukkan prestasi perniagaan yang membanggakan sejak tiga tahun lalu dari segi keuntungan dan jumlah aset,” ujar beliau.

Tambah Khairil Anuar, berbekalkan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan perbankan yang ditawarkan, CBP yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan baharu.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, CBP mencatat keuntungan sebanyak RM120.56 juta, iaitu yang tertinggi sejak penubuhan kami dengan aset berjumlah RM10.87 bilion.

“Dengan pencapaian ini, kami bersedia untuk terus maju dan bersaing dengan institusi kewangan lain di Malaysia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button