Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Lelaki minta video lucah dari kanak-kanak kekal dipenjara 10 tahun

PUTRAJAYA – Seorang lelaki berkelulusan pendidikan awal kanak-kanak kekal dihukum penjara 10 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

Hukuman dikenakan berhubung empat kes meminta bahan pornografi daripada seorang murid perempuan berusia 12 tahun melalui aplikasi ‘WhatsApp’, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Hendra Mulana, 33, selaku perayu.

Dalam keputusan penghakiman bertarikh 1 Julai yang diperolehi oleh media, menerusi sistem mahkamah hari ini, Hadhariah berkata, dakwaan Hendra bahawa dia dan kanak-kanak itu merupakan pasangan kekasih dan berhasrat berkahwin, adalah tidak boleh dipercayai.

Memetik Sinar Harian, Hadhariah dilaporkan berkata, tertuduh didapati tidak melakukan tindakan proaktif untuk bertemu keluarga kanak-kanak tersebut.

“Dia juga tidak mengambil sebarang usaha untuk bertemu mangsa bagi memastikan umur sebenar,” katanya yang bersidang bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Hadhariah berkata, mahkamah juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi Taiping, Perak bahawa, berdasarkan gambar profil WhatsApp, sesiapapun boleh menyedari mangsa adalah seorang kanak-kanak.

Sebelum ini, Hendra mengaku menjalin hubungan `cinta’ terlarang secara maya dengan mangsa yang dikenalinya melalui laman sosial `Bigo’, pada 2019, namun mereka tidak pernah bersemuka sepanjang perkenalan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button