Bisnes & Ekonomi

Bilangan penganggur catat penurunan 0.1 peratus pada Mei 2024 – DOSM

PUTRAJAYA – Kadar pengangguran pada bulan Mei lalu kekal 3.3 peratus, dengan bilangan penganggur terus menurun kepada 566,100 orang, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, kedudukan ekonomi yang optimis pada bulan Mei tahun ini telah membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Mei 2024 terus mengukuh iaitu sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.15 juta orang berbanding April lalu (17.12 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus, seperti yang direkodkan bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada bulan Mei tahun ini kekal dalam trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.58 juta orang berbanding April lalu (16.56 juta orang).

Bilangan penganggur turun sedikit laitu sebanyak 0.1 peratus daripada 566,400 ribu orang pada bulan April 2024 kepada 566,100 ribu orang pada bulan Mei 2024. Kadar pengangguran pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 3.3 peratus.

Mengulas mengenai kedudukan guna tenaga, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, pada bulan Mei lalu, kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.44 juta orang berbanding April lalu (12.43 juta orang).

“Begitu juga, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik, dengan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.05 juta orang berbanding April 2024 iaitu 3.04 juta orang,” ujarnya lagi.

Selain itu, menurut Mohd Uzir lagi, dari segi sektor ekonomi, hampir dua pertiga penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga merekodkan pertambahan dalam guna tenaga,” ujarnya lagi.

Tambah Mohd Uzir, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur.

Kata beliau, kategori tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 452,000 ribu orang berbanding April lalu yang merekodkan sebanyak 451,400 ribu orang.

Show More

Related Articles

Back to top button