Jenayah & Mahkamah

Permohonan semakan kembalikan keputusan DNAA Muhyiddin didengar hari ini

PUTRAJAYA – Permohonan semakan untuk mengembalikan keputusan memohon dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi kes salah guna kuasa program Jana Wibawa akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

Muhyiddin tiba di perkarangan Istana Kehakiman pada jam 8.35 pagi dengan diiringi Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada 16 April lalu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memohon lima hakim untuk mendengar permohonan semakannya.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan DNAA terhadap Muhyiddin yang dibuat Mahkamah Tinggi dan mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa ke atasnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih menghadapi tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada Mac tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan Jana Wibawa.

Empat pertuduhan salah guna kuasa itu, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara Mac 1, 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpuaa) – dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk Bersatu menerima RM125 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity – antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button