Berita SemasaPM XPolitik

BRICS miliki 26 peratus KDNK dunia, penyertaan Malaysia beri kekuatan ekonomi baharu

KUALA LUMPUR- Penyertaan Malaysia ke dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) akan memberi kekuatan baharu dalam aspek pembangunan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa kini gabungan negara-negara anggota BRICS mempunyai kekuatan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$26.6 trilion.

“Nilai KDNK itu bersamaan dengan 26.2 peratus daripada nilai KDNK dunia.

“Maka kalau kita membuka jalur (BRICS) ini kita yakin akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dan ekonomi negara kita,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian dalam jawapan kepada Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang bertanyakan bagaimana penyertaan Malaysia dalam BRICS akan membantu perkembangan ekonomi negara.

Beliau juga menegaskan penyertaan Malaysia dalam gabungan itu tidak berniat untuk mencampuri urusan domestik atau politik negara lain.

Ia juga katanya, tidak bercanggah dengan dasar luar negara kerana Malaysia mengambil pendekataan sebagai sebuah negara bebas dan merdeka.

tiada alasan mengapa Malaysia harus berasa bimbang akibat menyertai BRICS selain terdapat negara menganggotai BRICS turut menjadi ahli dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Menurut Anwar, Malaysia sudah mengkaji kemungkinan dan implikasi dalam hubungan dengan negara BRICS dan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) sebelum memohon menyertai kumpulan ekonomi itu.

“Penyertaan dalam BRICS tidak semestinya menjadi suatu permasalahan kerana negara-negara yang menyertai BRICS ini juga mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan Eropah, AS dan negara-negara lain,” katanya.

Ujar beliau, Malaysia perlu melihat kepada realiti ekonomi semasa bahawa kekuatan ekonomi tidak lagi hanya bergantung kepada satu negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), sebaliknya telah muncul beberapa kekuatan baharu termasuk China dan India.

“Jadi, samalah macam BRICS walaupun sistemnya berbeza, tetapi dalam hubungan dagangan dan kerjasama, mereka negara yang rapat dengan kita.

Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) jika kerajaan sudah meneliti implikasi penyertaan Malaysia ke dalam BRICS yang mempunyai latar belakang ekonomi dan politik berbeza terutama dalam isu de-dolarisasi.

Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk Malaysia menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Show More

Related Articles

Back to top button