Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bapa dan anak lelaki didakwa rogol anak tiri 12 tahun

KOTA BHARU – Seorang bapa dengan anak lelakinya serta seorang rakan sebaya anaknya itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol anak tiri yang berusia 12 tahun di sini pada tahun ini.

Tiga tertuduh, berusia 46 dan 22 tahun, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Kes tersebut melibatkan dua pertuduhan terhadap tertuduh pertama, seorang bapa berusia 46 tahun, yang didakwa merogol anak tirinya tanpa kerelaan.

Kesalahan tersebut juga melibatkan hubungan antara tertuduh dan mangsa dilarang di bawah undang-undang, hukum agama dan amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap kanak-kanak tersebut.

Tertuduh didakwa melakukannya di sebuah rumah di Bachok pada waktu petang tahun ini dan antara 18 hingga 22 Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh anak dan rakannya, masing-masing berusia 22 tahun, didakwa merogol mangsa yang sama tanpa kerelaan, dengan perbuatan tersebut dilakukan di hadapan orang lain, di lokasi yang sama pada tahun ini.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, mengendalikan pendakwaan bagi kes ini.

Tertuduh bapa dan anaknya diwakili peguam, Nur Sarah Syamimi Safie, manakala tertuduh rakan anaknya diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri memohon agar ketiga-tiga tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana kes tersebut serius dan mangsa masih berusia 12 tahun.

Peguam pembela, Nur Sarah Syamimi dan Zuhaidie Akmal, bagaimanapun memohon ikat jamin diberikan kerana ini adalah kes jenayah pertama bagi anak guam mereka, serta berjanji tidak akan mengganggu mangsa.

Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh bapa dan anaknya tidak dibenarkan ikat jamin, manakala tertuduh rakan anaknya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Ogos depan.

Show More

Related Articles

Back to top button