2 wartawan diugut dalam kes buli siber Esha
SUBANG JAYA – Dua wartawan dilaporkan diugut dalam kes buli siber yang mengakibatkan seorang pempengaruh meninggal dunia baru-baru ini, dedah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, pembuli siber terbabit difahamkan telah menghubungi dan mengugut wartawan terbabit dengan mengambil gambar kediaman mereka.
“Mereka mengadu orang yang telah buli siber mendiang Esha juga telah menghubungi mereka dan mereka berasa sangat takut pada masa itu. Ini merupakan ugutan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan yang diadakan di Hub CelcomDigi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kerisauan terhadap mereka yang menjadi mangsa buli siber secara senyap, apatah lagi dengan taktik kini menggunakan akaun palsu.
“Kalau kami para menteri dan ahli politik sudah lali dengan buli siber tapi ia tidak bermakna tindakan itu dibenarkan. Kebiasaannya mereka ini menggunakan akaun palsu.
“Sepatutnya begini, berani cakap berani hadap. Jadi kalau berselindung di sebalik akaun palsu maksudnya ada yang tidak kena,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan terhadap sejumlah individu yang melontarkan komen-komen berunsur buli siber di media sosial.
Terdahulu, media melaporkan seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Rajeswary Appahu atau Esha meninggal dunia akibat buli siber pada Khamis lalu
Kematian Esha berlaku sehari selepas beliau membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan tindakan buli siber terhadap Esha.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune