Berita Semasa

2 beradik termakan keropok mengandungi racun tikus masih kritikal

GEORGE TOWN – Dua beradik yang kritikal selepas makan keropok dipercayai mengandungi racun tikus masih belum sedarkan diri dan kritikal setakat ini.

Ibu mereka Nurain Hasnorizal, 25, berkata, kedua-dua beradik Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Katanya, anak sulungnya Muhammad Akil Syauqi langsung tiada tindak balas badan dan paling kritikal berbanding adiknya dengan kedua-duanya masih koma.

“Menurut doktor yang merawat, abang paling kritikal dan sehingga sekarang masih tiada tindak balas badan langsung, manakala adik pula tekanan darah ‘ok’, kedua-duanya masih koma sekarang dan saya mohon doa semua untuk anak-anak saya.

“Doktor sedang berusaha sebaik mungkin, doktor sedang beri beberapa jenis ubat termasuk antibiotik, cuma sampai hari ini kedua-duanya masih belum sedar,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Semalam dilaporkan dua beradik lelaki kritikal selepas dipercayai termakan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi di Kulim dan Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata ibu kepada dua beradik itu menyedari kejadian pada 11 pagi selepas anak-anaknya muntah dan mengalami mulut berbuih.

Kedua-dua mangsa dipercayai mengambil sepeket keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

Mengulas lanjut, Nurain berkata ketika ini harapannya agar kedua-dua anaknya itu dapat sembuh segera, namun beliau redha dengan takdir yang telah berlaku.

Beliau juga masih belum memikirkan tindakan yang akan diambil kepada pemilik kebun yang juga jiran mereka yang dipercayai telah menggantung keropok mengandungi racun tikus itu kira-kira 50 meter dari rumah keluarganya.

”Saya tidak fikir nak buat apa, sekarang ini saya hanya fikirkan anak-anak, mungkin selepas anak sihat saya akan buat keputusan. Saya akan bincang dengan keluarga selepas ini, saya serah kepada keluarga,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button