Berita Semasa

Penolong pegawai perubatan maut, ambulans rempuh treler

TAPAH – Seorang penolong pegawai perubatan wanita maut selepas ambulans yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer KM330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara awal pagi tadi, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa yang berumur 30 tahun dilaporkan tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian manakala, pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kemalangan berkenaaan membabitkan sebuah ambulans milik swasta dengan sebuah treler.

Katanya, ketika kejadian ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras ke Ipoh selepas selesai menghantar pesakit manakala treler terbabit dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Mertajam untuk menghantar barangan.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian terbabit dipercayai berlaku selepas ambulans yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 41 tahun telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang dipandu oleh oleh seorang lelaki berumur 32 tahun di laluan sebelah kiri jalan.

Sebuah ambulans merempuh bahagian belakang sebuah treler hingga menyebankan seorang penolong pegawai perubatan maut.

“Akibat kemalangan terbabit, seorang penolong pegawai perubatan wanita yang berumur 30 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Mohd Naim berkata, pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan punca kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, “katanya.

Sehubungan dengan itu, pihak polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian terbabit tampil ke hadapan dan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohamad Razikin di talian 013-2087919 bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button