Berita Semasa

UIAM nafi tidak berupaya bayar balik hutang

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menafikan institusi itu berada dalam keadaan tidak berupaya membayar balik hutang selain mempunyai kedudukan kewangan yang tidak stabil.

UIAM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan laporan media baru-baru ini mengenai perkara berkenaan adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana sebagai universiti awam, ia tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan untuk tujuan perbelanjaan operasi.

“Pengurusan UIAM ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang pinjaman berbentuk hutang yang pernah diambil sehingga hari ini,” lapor Bernama hari ini.

Menurut UAIM perkara itu dapat dibuktikan melalui hasil dapatan audit penyata kewangan oleh juruaudit bebas iaitu KPMG Malaysia yang telah memberi penarafan sijil bersih kepada universiti berkenaan untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2021.

Pada Rabu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 menyatakan bahawa kedudukan kewangan UIAM secara keseluruhannya kurang stabil kerana mencatatkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022.

UIAM memaklumkan kurangan terkumpul itu disebabkan peruntukan besar untuk pelan manfaat persaraan kakitangan yang akan bersara wajib, selaras dengan kehendak Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).

“Pada tahun kewangan berakhir 2022, sejumlah RM308.59 juta direkodkan sebagai komitmen keseluruhan bagi pelan manfaat persaraan tersebut,” katanya.

Menurut UIAM pada awal pelaksanaan pembayaran ganjaran manfaat persaraan, pihak pengurusan berhasrat untuk tidak bergantung kepada geran khas kerajaan dan menggunakan sumber dalaman universiti bagi bayaran ganjaran perkhidmatan kakitangan bersara wajib.

Katanya sehingga tahun lepas, hampir RM100 juta telah dibayar kepada kakitangan UIAM yang bersara menggunakan sumber dalaman universiti berbeza dengan universiti awam lain yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pencen).

Show More

Related Articles

Back to top button