Berita Semasa

Jari kanak-kanak tersepit di eskalator pusat beli belah

KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak perempuan cedera selepas jari tangan kanannya tersepit pada eskalator dalam satu kejadian di sebuah pusat beli belah di Plaza Juta, Likas, di sini, semalam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 7.50 malam.

Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas telah dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan jari kanak-kanak berusia enam tahun yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas (L-Key).

“Seterusnya, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya memetik laporan TV3.

Dalam pada itu, mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS.

Jelas beliau, operasi tersebut ditamatkan pada pukul 8:10 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Show More

Related Articles

Back to top button