Berita Semasa

MAQIS gagalkan cubaan bawa masuk daging korban dari Bangladesh

KOTA BHARU – Sejumlah 20 kilogram (kg) daging lembu korban yang dibawa dari Bangladesh dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Kelantan sebaik tiba di balai ketibaan di sini, pada 26 Jun lalu.

Pengarah MAQIS Kelantan, Syed Fuad Syed Putra, berkata, daging tersebut dibawa masuk dengan alasan untuk diberikan kepada keluarga.

Katanya, pasukan penguat kuasa mengesan daging lembu yang disimpan dalam bekas polisterin ketika imbasan dibuat di laluan ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

“Daging lembu itu dibawa dari Bangladesh oleh seorang penumpang warga negara itu dan ditemui disorok dalam kotak polisterin serta tidak mempunyai permit sah.

“Lelaki berusia sekitar 40-an itu memberitahu ia adalah daging korban dan ingin memberikannya kepada keluarga di Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Fuad berkata, daging lembu yang dianggarkan bernilai RM600 itu dirampas untuk tindakan lanjut.

“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit kuku dan mulut (FMD) ke negara ini seterusnya merosakkan industri penternakan negara,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button