Berita Semasa

Langgar treler, 2 cedera

IPOH – Dua orang cedera selepas sebuah lori muatan 16 tan melanggar bahagian belakang sebuah lori treler dalam satu kemalangan di Kilometer 264, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dari Jelapang ke sini, Perak awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 1.46 pagi.

Susulan itu, tujuh anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera Fire Rescue Tander (FRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Seorang lelaki dewasa iaitu pemandu lori muatan 16 tan telah mengalami kecederaan ringan dan telah keluar sendiri daripada kenderaan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Sementara itu, seorang lagi lelaki iaitu kelindan lori treler jenis Scania telah tersepit di ruangan penumpang dan kaki kirinya mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, anggota bomba di lokasi telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit itu daripada kenderaan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button