Berita SemasaSukan

Euro 2024: Bellingham didenda RM101,773, Demiral digantung perlawanan

NYON – Bintang sensasi England dan Real Madrid, Jude Bellingham bakal dikenakan denda sebanyak €20,000 (RM101,773.74) oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana melakukan isyarat kontorversi semasa meraikan kemenangan 2-1 England ke atas Slovakia.

Ketika insiden itu berlaku, Bellingham diperhatikan mencium tangannya dan membuat isyarat mencengkam kemaluannya ke arah bangku simpanan Slovakia.

UEFA menyiasat insiden itu memilih hukuman denda kepada pemain tengah England itu.

Bellingham yang dilaporkan memperoleh pendapatan antara €10-12 juta (RM50,737,987-RM60,888,400) setahun menjelaskan tindakannya sebagai gurauan dengan rakan-rakan.

Dalam perkembangan yang sama, Turkiye menghadapi tamparan besar menjelang suku akhir Euro 2024 selepas pemain pertahanan, Merih Demiral digantung perlawanan.

Menurut laporan BILD, UEFA mengesahkan mereka melancarkan siasatan kepada bekas pemain Juventus itu dan bakal dikenakan pergantungan sebanyak dua perlawanan.

Demiral merupakan pemain penting Turkiye dalam kempen kali ini dan telah menjaringkan dua gol ketika aksi menentang Austria.

Pemain pertahanan Al Ahli itu menjaringkan dua gol tandukan pada pusingan 16 untuk membantu kemenangan negaranya ke atas Austria dan bakal berdepan Belanda pada Sabtu ini.

Walau Bagaimanapun, dia mencetuskan kontroversi dengan isyarat tangan selepas menjaringkan gol keduanya dengan melakukan ‘tabik serigala’.

Isyarat itu dipercayai dikaitkan dengan Grey Wolves iaitu kumpulan yang diiktiraf oleh beberapa negara di Eropah termasuk Jerman sebagai puak pelampau di Turki.

Keputusan itu bermakna Demiral tidak akan bermain dalam perlawanan penting Turkiye yang akan datang, manakala Bellingham kekal layak untuk perlawanan seterusnya England.

Keputusan ini dibuat ketika kejohanan memasuki peringkat akhir, dengan kedua-dua pasukan masih dalam pertarungan.

Show More

Related Articles

Back to top button