Kerajaan digesa rangka strategi baharu basmi cetak rompak digital – Altimet
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menggesa kerajaan untuk merangka strategi baharu untuk menangani cetak rompak digital agar ia tidak mengancam masa depan penggiat seni tempatan.
Altimet berkata, perkembangan teknologi dalam industri kreatif memerlukan pendekatan baharu untuk membasmi cetak rompak.
“Saya suarakan isu ini demi masa depan anak-anak kita dan industri kreatif. Cara kita menikmati muzik dan menonton filem sudah berubah, maka undang-undang juga perlu diperbaharui,” katanya seperti dilaporkan BH online hari ini.
Altimet turut berkata sebagai contoh undang-undang dadah yang berubah seiring dengan perkembangan bahan kimia baru.
“Mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama dalam undang-undang cetak rompak?
“Ianya amat penting untuk kerajaan memperkasakan kempen kesedaran untuk memupuk rasa hormat terhadap harta intelek.
“Kita sering mengambil contoh industri seni Korea Selatan, tetapi tidak mengikuti cara mereka menghormati karya orang lain,” katanya lagi.
Beliau yakin usaha ini perlu diteruskan walaupun kesannya mungkin tidak segera kelihatan.
“Saya akan terus berusaha dan bersuara sehingga isu cetak rompak dapat diatasi.
“Saya harap dengan perkongsian ini, orang seni lebih peka dengan hak mereka,” katanya.
Altimet turut berkongsi ilmu mengenai hak penggiat seni melalui media sosialnya, dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan artis.