Berita Semasa

Menteri Komunikasi sampaikan sumbangan kepada jurukamera ditimpa kemalangan

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan kepada jurukamera portal berita Malaysia Gazette, Mohd Airulrezal Amirudin yang cedera dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkannya mengalami patah tulang rusuk dan tulang belakang, baru-baru ini.

Fahmi berkata, beliau cukup kesal dengan kejadian tersebut kerana nasib para pengamal media termasuk rakan-rakan jurukamera memang sangat dekat di hatinya.

“Saya bersyukur kerana dimaklumkan Jabatan Sumber Manusia, Malaysia Gazette telah memastikan semua aspek kebajikan Perkhidmatan Keselamatan Sosial (Perkeso) tiada masalah kepada Airulrezal,” katanya dalam sidang media.

Turut hadir dalam ziarah tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nurul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi turut memaklumkan bahawa sejak 1 Julai lalu, hampir 600 pengamal media yang berkhidmat sebagai stringer (wartawan sambilan) dan juga pekerja Contract for Service serta Peacemeal (pekerja sambilan) untuk Stesen Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat manfaat Perkeso.

Tambahnya, dengan adanya perlindungan untuk “stringer” dan “peacemeal”, mereka dapat bekerja tanpa perasaan risau kerana mendapat perlindungan sosial.

Dalam kunjungan tersebut, Fahmi menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi meringankan beban Mohd Airulrezal.

Show More

Related Articles

Back to top button