Berita Semasa

Malaysia bertegas tidak benarkan syarikat milik Israel beroperasi

KUALA LUMPUR – Kerajaan bertegas tidak membenarkan syarikat milik Israel menjalankan aktiviti di negara ini, walaupun Malaysia tidak pernah menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketegasan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dibuktikan apabila syarikat perkapalan ZIM milik Israel disekat daripada berlabuh di perairan Malaysia sejak Disember lalu.

“Walaupun kita tidak menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara kita, tetapi tidak untuk syarikat milik Israel,” katanya pada sesi penerangan Kamar Khas pada sidang Dewan Rakyat berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Insfrastructure Partners (GIP), hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI berpendirian teguh mempertahankan dan membela nasib rakyat Palestin, bersama institusi lain dalam negara yang aktif memainkan peranan dalam bersolidariti dan menyumbang untuk mangsa kekejaman Zionis

Di platform antarabangsa, Amir Hamzah berkata, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak jemu untuk berbicara dan menyuarakan gesaan kepada pemimpin dunia termasuk kuasa besar, agar kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dihentikan segera.

Tambahnya, Malaysia juga sudah menyuarakan ketegasan pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya negara Palestin mendapat keanggotaan penuh dalam badan dunia itu.

“Kita juga sokong penuh keputusan resolusi genjatan senjata dan konsisten salur bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 25 Jun lalu memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada GIP, melalui syarat yang ketat.

GIP adalah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion bagi pihak pelaburnya, yang merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button