Luar Negara

Wanita ditemukan mati ditelan ular sawa

MAKASSAR – Seorang wanita ditemukan maut di dalam perut seekor ular sawa semalam, selepas hilang sejak sehari sebelumnya ketika keluar membeli ubat untuk anaknya yang sakit.

Insiden yang menimpa mangsa dikenali sebagai Siriati, 36, ini merupakan insiden kedua dalam tempoh sebulan di wilayah sama di Sulawesi Selatan, di Indonesia.

Sejak kehilangan mangsa semalam, suaminya, Adiansa, 30, bersama ahli keluarga lain mencari mangsa sebelum menemukan selipar dan seluarnya di atas jalan, kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.

“Suami mangsa kemudiannya ternampak seekor ular yang masih hidup, kira-kira 10 meter dari laluan itu,” kata wakil penduduk kampung, Iyang kepada AFP.

Tambah Iyang, suami mangsa mula berasa sangsi selepas menyedari bahawa perut ular sawa terbabit sangat besar.

Berikutan itu, suami mangsa kemudiannya memanggil penduduk kampung untuk membantu memotong perut ular itu sebelum menemukan mayat Siriati.

Bulan lalu, seorang wanita ditemukan mati di dalam perut ular sawa di daerah lain di Sulawesi Selatan.

Malah, insiden sama turut berlaku tahun lalu apabila seorang petani ditelan ular sawa sepanjang lapan meter.

Pada 2018, seorang wanita berusia 54 tahun ditemukan mati di dalam perut ular sawa sepanjang tujuh meter di bandar Muna, Sulawesi Tenggara.

Show More

Related Articles

Back to top button