
Euro 2024: 2 jaringan pemain pertahanan bantu Turkiye benam Austria
LEIPZIG – Pemain pertahanan, Merih Demiral menjadi watak penting dengan menjaringkan dua gol untuk membantu Turkiye menewaskan Austria 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Arena Red Bull, Leipzig, sebentar tadi.
Merih membuka tirai jaringan seawal minit pertama dengan menewaskan penjaga gol Austria, Patrick Pentz untuk memberikan Turkiye kelebihan satu gol di hadapan.
Pada babak kedua, Merih Demiral sekali lagi menambah koleksi jaringan bersama Turkiye selepas menanduk masuk bola hasil daripada sepakan penjuru yang dihantar oleh Arda Guler pada minit ke-59.
Bagaimanapun anak buah Ralf Rangnick tidak berputus asa dan pada minit ke-66 pemain gantian, Michael Gregoritsch, menjaringkan gol pertama buat Austria melalui sepakan penjuru sekali gus merapatkan jurang perbezaan jaringan.
Austria terus berusaha mencari jaringan penyamaan namun tidak berjaya susulan barisan pertahanan Turkiye yang lebih utuh menjaga gawang daripada dibolosi.
Malah, peluang terakhir Austria hadir pada minit terakhir perlawanan melalui tandukan bebas tetapi Mert Günok cemerlang menafikan percubaan itu.
Turkiye dijadualkan bertemu Belanda pada 7 Julai ini dalam peringkat suku akhir.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |