Berita Semasa

Proses lantik pengendali rangkaian kedua 5G dijangka selesai sebelum hujung tahun ini

KUALA LUMPUR – Proses pelantikan syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) bagi pengendalian pembinaan rangkaian kedua 5G dijangka selesai sebelum hujung tahun ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, proses berkenaan kini sedang dijalankan sebagai fasa kedua projek itu.

“Pada masa ini, seperti yang dimaklumkan semua, proses tandatangan perjanjian langganan saham (SSA) telah disempurnakan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang melihat bagaimana untuk memulakan proses pembinaan rangkaian kedua itu.

“Sekarang ini kita berada di fasa kedua di mana kita akan melihat keputusan bahawa siapa yang akan bertanggungjawab dalam pembinaan rangkaian itu. Kami berharap proses pemilihan ini akan dilengkapkan sebelum hujung tahun ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran e-Mas oleh TNG Wallet dan CIMB Bank yang diadakan di Hotel Hilton, di sini hari ini.

Sebelum ini, keputusan pembinaan rangkaian kedua 5G telah dipersetujui jemaah menteri dalam satu mesyuarat Kabinet pada Mei lalu.

Susulan itu, semua syarikat telekomunikasi dalam negara diminta untuk melengkapkan proses SSA di dalam syarikat Digital Nasional Berhad (DNB) sekiranya mahu terlibat dalam rangkaian 5G kedua negara.

Show More

Related Articles

Back to top button