Berita Semasa

Penyasaran subsidi diesel sudah tunjuk petanda positif – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Penyasaran semula subsidi diesel sudah menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan ketirisan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat ini jualan purata harian di stesen minyak di Semenanjung menurun lebih 30 peratus.

Namun katanya, stesen di kawasan sempadan turun lebih ketara iaitu penurunan antara 40 hingga 50 peratus.

“Ini merupakan indikator jelas pengurangan penyeludupan. Penetapan harga runcit kepada paras harga pasaran tanpa subsidi mencapai hasil kerana langkah itu mengurangkan sebab untuk menyeludup.

“Ia tidak tercapai jika kerajaan melaksanakan kenaikan harga runcit secara beransur-ansur dan kecil kerana tidak akan menangani jurang perbezaan harga,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan dengan memberi bantuan BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel M40 dan B40.

Justeru, pendekatan penyasaran subsidi melalui penetapan harga pasaran dan bantuan bersasar mencapai objektif membanteras ketirisan dan pada masa yang sama melindungi rakyat daripada kenaikan kos.

Pelbagai operasi penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan terus diperkukuhkan bagi membendung sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan bekalan barangan.

Mengenai BUDI MADANI, Amir Hamzah berkata pemberian subsidi sebanyak RM200 sebulan dianggarkan memadai bagi menampung kos tambahan perjalanan harian.

“Bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun ditetapkan mengambil kira data penggunaan. Bantuan RM200 dianggarkan mencukupi untuk menampung kos tambahan bagi perjalananharian 75 kilometer merujuk kepada kenderaan diesel biasa seperti lori pikap.

“Tahap penggunaan ini mencukupi untuk lebih 80 peratus pengguna kenderaan diesel persendirian berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button